Bahaya Terpakai Produk Tiruan Penjagaan Kecantikan

Bismillah

Walaupun kita sedar akan bahayanya bahan kimia merbahaya seperti Merkuri, Hydroquin tetapi kita tetap memilih untuk menjadi salah seorang mangsa mereka dan sanggup mencuba produk tiruan ini demi cantik dalam masa yang singkat

Pun begitu, ramai yang menganggap mereka tidak mampu berbelanja banyak semata-mata untuk kosmetik walaupun hanya RM 50 untuk satu produk. Jadi, pilihan mereka ialah membeli produk tiruan dengan harga jauh lebih rendah. Tanpa memikirkan risiko, mereka beranggapan inilah cara memenuhi kehendak mereka khususnya yang meminati jenama antarabangsa.

Tinjauan penulis di pasar malam, downtown dan uptown sekitar Lembah Klang baru-baru ini mendapati ramai peniaga yang menjual kosmetik jenama antarabangsa dengan harga jauh lebih murah. Sudah tentulah ini merupakan kosmetik tiruan. Bayangkan harga produk asli boleh mencecah sehingga RM100 tetapi peniaga-peniaga tersebut menawarkan harga serendah RM 10. Menariknya, ada antara jenama kosmetik yang belum memasuki pasaran di Malaysia, sudah pun dijual oleh peniaga tersebut.

Lebih membimbangkan, promosi jualan murah produk-produk terbabit juga kini mula memasuki pasaran Internet. Hakikatnya, permintaan terhadap barangan berkenaan sangat tinggi di negara ini dan jelas ‘kegilaan’ orang ramai terhadap kosmetik diambil kesempatan oleh peniaga tidak bertanggungjawab ini.

Bagaimanapun, lebih menggusarkan produk tiruan itu tidak sahaja berkualiti rendah malah berkemungkinan memberi kesan sampingan yang buruk kepada penggunanya disebabkan tiada kawalan terhadap ramuan yang digunakan dalam menghasilkan produk tiruan itu.

Lebih dikhuatiri ialah kemungkinan produk tersebut mengandungi campuran formula rahsia dengan kandungan kimia berbahaya yang bukan saja merosakkan kulit tetapi organ dalaman manusia secara perlahan-lahan. Lebih berbahaya, jika penggunaannya digunakan secara meluas dan kerap.

Ramai yang tahu mengenai fakta ini tetapi tidak takut untuk mencuba walaupun pernah membaca kes masalah kesihatan akibat produk tiruan menerusi media massa. Bayangkan sikap pengguna, sebagai contoh, walaupun penggunaan kanta lekap mampu menyebabkan kerosakan kornea tetapi bahaya itu tidak diabaikan dengan alasan ia dijual pada harga yang murah.

Fenomena ini bukan sahaja melibatkan jenama-jenama antarabangsa, malah industri kosmetik dan kecantikan tempatan terkena tempiasnya. Produk-produk mereka juga menerima nasib yang sama apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjual produk tiruan.

Menurut Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Faizal Ali, kosmetik yang selamat ialah kosmetik yang tidak mengandungi bahan-bahan kimia merbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan seperti menyebabkan kanser, kerosakan kepada kulit, organ dalaman dan kesan buruk kepada kulit untuk jangka panjang.

Tambah Dr. Faizal, setiap orang pasti tidak mahu menerima risiko kerosakan wajah kerana wajah ialah aset yang sangat penting pada setiap wanita. Oleh itu, pengguna perlu prihatin dan berhati-hati terhadap kosmetik yang terdapat di pasaran hari ini.

“Wajah ialah cermin diri anda. Anda perlu menjaganya agar tidak rosak,” katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/kosmetik-tiruan-pembunuh-senyap-1.437889#ixzz4v1iC0gRq
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments