Hukum Solat Bagi Wanita Bermake Up

Sebagai seorang wanita, kita sentiasa tidak akan lari dari keinginan mencalit bedak atau sedikit touch up di muka. Tidak semua wanita memiliki wajah yang segar dan cantik tanpa make up. Adakala sedikit sentuhan seperti bedak, eyeliner, lipstik dan blusher diperlukan bagi menyegarkan wajah supaya kelihatan lebih bermaya. Namun, sebagai seorang wanita muslimah, kita patut tahu akan hukum dan isu yang terkandung berkaitan penggunaan make up.


Perkongsian ini saya ambil dari saudara Abu Asim. Mohon share yer

Soalan:
Adakah sah solat orang perempuan yang memakai make-up?

Jawapan:
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسول الله، اما بعد
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW. Amma ba'd,

Di dalam permasalahan ini, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan.

1. Sah solat
Make-up ketika selepas wudhu tidak menjadi masalah dari segi sahnya wudhu dan solat yang didirikan menurut ulama adalah sah. Adapun make-up sebelum wudhu, sekiranya make-up itu menyebabkan air tidak sampai kepada kulit, maka ia boleh menyebabkan wudhu itu tidak sah dan akhirnya mengakibatkan solat itu yang didirikan itu juga tidak sah.

Bahan make-up itu juga perlulah dipastikan ianya terdiri daripada bahan-bahan yang halal.

2. Tabarruj
Meskipun solatnya sah, make-up yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang wanita itu menjadi tabarruj atau di dalam erti kata lain berhias berlebihan-lebihan yang dilarang oleh agama. Perkara-perkara sebegini lah yang sekiranya tidak dijaga akan menjejaskan kesempurnaan solat. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ
Maksudnya: "... dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu..."
(Surah al-Ahzab 33:33)

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tabarruj, sila baca artikel saya yang lain di sini (wanita dan tabarruj).

3. Solat di masjid dengan memakai wangi-wangian (perfume)
Seperkara lagi yang perlu diperhatikan oleh kaum wanita adalah, selain daripada tabarruj seperti make up berlebih-lebihan, terdapat juga sebilangan wanita yang memakai wangi-wangian (perfume). Para ulama telah pun menyatakan bahawa haram bagi wanita untuk memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah, di mana mereka berada di tempat yang ada kaum lelaki di sana, serta mereka juga tidak boleh memasuki masjid ketika memakai wangi-wangian. Ini berdasarkan hadis:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلَاتٌ
Dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian menghalangi kaum wanita itu pergi ke masjid-masjid Allah, akan tetapi hendaklah mereka itu pergi tanpa memakai wangi-wangian."
(Riwayat Abu Dawud. Dinilai hasan sahih menurut Syaikh al-Albani)

Wallahu a’lam.


Dengan ini, wajiblah bagi kita untuk mencari dan menggunakan bahan kecantikan yang terdiri daripada bahan kimia yang mudah dicuci atau mesra solat. 

No comments